GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pelan infrastruktur digital dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (Jendela) akan dibangunkan kerajaan sebagai platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, pelan tindakan itu akan dilaksanakan kementerian dan agensi berkaitan dengan pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama.

"Pelaksanaan Jendela diharapkan dapat menyediakan penyelesaian kepada masalah capaian Internet di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk Sabah serta Sarawak.

"Kerajaan juga meluluskan 128 projek teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta pendigitalan membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM3.8 bilion dengan peruntukan 2021 sebanyak RM538.7 juta.

"Projek yang diluluskan itu meliputi pembangunan sistem, infrastruktur dan perisian keselamatan siber, latihan kompetensi kerajaan digital serta menaik taraf kelengkapan ICT di institut latihan," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, selaras usaha memperkasa ekonomi digital, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital.

Beliau berkata, dasar itu mempunyai tiga tujuan utama antaranya menyediakan generasi fasih digital iaitu menguasai pengetahuan dan kemahiran serta berupaya menghasilkan inovasi menggunakan teknologi digital.

"Kedua meningkatkan kompetensi dan pembangunan profesional pihak berkepentingan berkaitan kepimpinan serta pengintegrasian teknologi digital dalam pendidikan.

"Ketiga merapatkan jurang digital bagi melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan berfungsi dalam masyarakat berilmu berlandaskan nilai murni," katanya.

Beliau percaya Dasar Pendidikan Digital itu menjadi langkah ke hadapan menyediakan generasi fasih digital dan pada masa sama melonjakkan kualiti pendidikan negara setanding dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 11:46 AM