FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua (PKP 2.0) berjaya mengurangkan kerugian negara kepada RM300 juta sehari, berbanding RM2.4 bilion sehari semasa PKP 1.0.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, PKP fasa kedua ini membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi berbanding PKP terdahulu bagi mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan juga tekanan ekonomi semasa.

"Semasa PKP pertama dahulu, negara kita sudah mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari dan jika ia dilaksanakan secara berterusan, pasti sistem ekonomi negara kita termasuklah sistem kesihatan awam akan lumpuh," katanya ketika ucapan perasmian Hari Hasil ke-25 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) secara maya, hari ini.

Katanya, negara juga berjaya mengehadkan kes kematian akibat Covid-19 dengan nisbah 0.3 peratus atau dalam kategori 5.0 peratus terbawah di peringkat dunia.

Beliau berkata, keberkesanan langkah kerajaan membendung penularan Covid-19 juga diiktiraf oleh agensi penarafan kredit antarabangsa, Moody's melalui pengekalan penarafan Malaysia pada tahap A3 dengan unjuran stabil pada Januari tahun ini.

"Moody's juga menjangka bahawa penularan Covid-19 tidak akan menyebabkan kesan yang berpanjangan terhadap struktur ekonomi negara.

"Oleh itu, gelombang penularan semasa dan yang seterusnya hanya akan menangguhkan, tanpa menghalang pemulihan ekonomi negara ke arah landasan pertumbuhan yang lebih tinggi dan mampan," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kejayaan penarafan ini dipacu oleh asas ekonomi yang kukuh, disiplin fiskal yang baik termasuklah dengan sokongan kepelbagaian sektor ekonomi.

Bagaimanapun katanya, ia amat bergantung kepada keupayaan negara mengekang pandemik dan juga melaksanakan pemulihan berterusan dalam permintaan luaran.

Walaupun Malaysia mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus pada 2020, Tengku Zafrul berkata, angka ini adalah lebih baik berbanding unjuran awal oleh organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (-5.8 peratus), Bank Dunia (-5.8 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0 peratus).

Prestasi Malaysia juga katanya, lebih baik jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand (-6.1 peratus) dan Filipina (-9.5 peratus) dan negara lain seperti United Kingdom (-9.9 peratus).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 11:42 AM