AL-Sultan Abdullah. FOTO FB Istana Negara.
AL-Sultan Abdullah. FOTO FB Istana Negara.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat Malaysia ke-88 kepada seluruh warga angkatan Tentera Darat, termasuk veteran dan semua yang pernah berkhidmat.

Istana Negara dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook menyatakan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota angkatan Tentera Darat, khususnya yang bertugas di barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan dalam membantu kerajaan memerangi penularan wabak Covid-19.

Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para perwira dan anggota Tentera Darat yang terkorban semasa bertugas.

Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, baginda turut menyanjung tinggi jasa, khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota Tentera Darat dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

"Semoga angkatan Tentera Darat terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 11:05 AM