FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Seorang anak tergamak mengugut mahu membunuh bapa serta ahli keluarganya yang lain apabila permintaannya untuk meminta wang bagi membeli dadah tidak diendahkan dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Setol, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, suspek lelaki berusia 33 tahun mengamuk dengan mengetuk motosikal jenis Yamaha Ego milik bapanya menggunakan sebatang kayu yang berada di laman rumah sehingga menyebabkan kerosakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika kejadian bapa suspek berusia 60 tahun baharu pulang dari kedai sebelum ternampak tindakan anak lelakinya itu.

"Suspek kemudian menghampiri bapanya dan meminta wang namun permintaannya itu tidak dilayan hingga suspek bertindak mengugut mahu membunuh bapanya serta ahli keluarga lain.

"Kejadian itu bagaimanapun disedari seorang lagi anak mangsa yang terdengar pertengkaran itu kemudian menghubungi polis berikutan bimbang keselamatan bapanya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, polis ke lokasi sebaik menerima aduan berhubung insiden itu bagi menahan suspek untuk tindakan selanjutnya.

"Berdasarkan siasatan di lokasi mendapati kejadian berlaku dalam kawasan rumah kampung yang tidak berpagar dan tiada kamera litar tertutup (CCTV).

"Semakan yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952," katanya.

Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah dan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 10:34 AM