Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Saya bimbang mahu hantar anak ke sekolah, namun anak pula rasa teruja memulakan sesi persekolahan secara bersemuka," kata Siti Nur Aishah Mohd Suhaimi, 34.

Siti Nur Aishah yang juga kakitangan swasta berkata, dia gementar ketika menghantar anak sulungnya, A'delia Azzahra Ahmad Syamim, 7, ke sekolah pagi ini.

"Disebabkan pandemik Covid-19, kami (ibu bapa) tidak dibenarkan masuk hingga ke depan kelas seperti sebelum ini dan menghantar anak di hadapan pagar sekolah sahaja.

"Keadaan ini pastinya membimbangkan saya kerana tidak dapat melihat sendiri keadaannya di dalam bilik darjah," katanya ketika ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee di Jalan Segambut, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia kerap kali mengingatkan anaknya supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama berkaitan penjarakan fizikal serta tidak berkongsi barangan dengan rakan.

"Anak amat teruja ke sekolah kerana boleh berjumpa rakan serta guru yang sebelum ini berhubung dengannya menerusi sesi pembelajaran pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak Januari lalu.

"Situasi itu menyebabkan saya lebih banyak menekankan kepada anak supaya sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal ketika bersama rakan selain tidak berkongsi barangan," katanya.

Guru Besar SJKC Khai Chee Tea Kim Wah berkata, pihaknya dibantu oleh beberapa sukarelawan daripada Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) bagi menjaga lalu lintas serta pemeriksaan suhu di hadapan pintu sekolah.

"Dengan pembukaan sekolah, kami amat mengharapkan kerjasama daripada ibu bapa supaya memastikan anak dalam keadaan sihat bagi memastikan sekolah ini selamat bagi murid lain.

"Malah, ibu bapa juga diminta untuk bersurai selepas menghantar anak di hadapan pagar dan diminta supaya tidak berkumpul," katanya yang memaklumkan seramai 670 murid Tahun 1 dan 2 berdaftar di sekolah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menghantar beberapa pasukan pemantau bagi memastikan semua sekolah di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Waris pelajar melihat anak masing-masing  memulakan sesi persekolahan. FOTO AMRAN HAMID
Waris pelajar melihat anak masing-masing memulakan sesi persekolahan. FOTO AMRAN HAMID

"Dalam kawasan IPD Sentul, terdapat 24 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 50 sekolah rendah yang akan dipantau pada waktu sebelum kelas bermula serta selesai sesi persekolahan.

"Kita turut menggerakkan pasukan dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk membuat pemantauan di semua sekolah berkenaan," katanya selepas melakukan lawatan di SJKC Khai Chee, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 9:30 AM