SULAIMAN MD ALI
SULAIMAN MD ALI
Amir Mamat


Melaka: Melaka hanya akan menggunakan bekalan vaksin yang disediakan oleh kerajaan bagi kegunaan penduduk di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata setakat ini kerajaan negeri mahu memanfaatkan vaksin yang dibeli oleh kerajaan Persekutuan tanpa merancang untuk mendapatkan sendiri bekalan seperti dilakukan oleh negeri lain.

"Seperti yang dipersetujui sebelum ini, kita akan mendapatkan 600,000 bekalan vaksin yang dibekalkan oleh kerajaan Persekutuan kepada kita untuk diberikan kepada sebahagian besar penduduk di negeri ini mengikut fasa yang ditetapkan.

"Di peringkat Melaka ketika ini belum ada merancang untuk membeli sendiri bekalan vaksin terbabit," katanya selepas menyampaikan bantuan kewangan secara One-Off kepada 308 pengayuh beca di Hotel Casa Del Rio, di sini hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Salha Saleh; Datuk Bandar Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Zainal Abu dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sha'ari Basiron.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada bekalan vaksin daripada syarikat pengeluar, namun tidak menolak kemungkinan akan berdepan dengan cabaran, terutama membabitkan bekalan vaksin.

Sementara itu, Sulaiman berkata, Melaka akan menerima 600,000 bekalan vaksin jenis Pfizer-BioNTech secara berperingkat yang sudah bermula Rabu lalu sehingga tahun depan.

Katanya, daripada jumlah itu sebahagian besar daripadanya akan diberikan kepada penduduk di negeri ini manakala kira-kira 40,000 lagi kepada pekerja asing yang bekerja di Melaka dan sudah berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri.

"Suntikan pertama vaksin bagi fasa pertama di Melaka akan bermula Selasa ini dimulakan dengan saya bersama anggota EXCO negeri serta pegawai kanan kerajaan, disusuli petugas barisan hadapan dengan jumlah keseluruhan 11,000 orang.

"Sehubungan itu saya berharap rakyat di Melaka mengambil peluang untuk mendapatkan vaksin ini dengan mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi membolehkan rantaian Covid-19 diputuskan dalam kalangan kita," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 5:04 PM