Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, menunjuk jarum dan vaksin. FOTO NADIM BOKHAR
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, menunjuk jarum dan vaksin. FOTO NADIM BOKHAR
BERNAMA

Kuching: Program suntikan vaksin Covid-19 bagi kawasan di luar bandar Sarawak akan dilaksanakan secara besar-besaran bermula April, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, program vaksinasi bagi negeri Sarawak bermula sejak semalam, kecuali di bahagian Utara negeri yang akan bermula minggu depan, dan ketika ini proses pendaftaran pengambilan vaksin di Sarawak sedang digiatkan.

"Program vaksiniasi untuk lebih 2.2 juta penduduk di Sarawak dijangka akan selesai Ogos ini. Melihat kelancaran proses vaksinasi yang dilakukan di beberapa pusat vaksinasi semalam dan hari ini, saya yakin ia mampu diselesaikan menjelang akhir Ogos tahun ini, tetapi ia masih bergantung kepada ketibaan vaksin,"," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Emperoh Jambu di sini, hari ini.

Sementara itu JPBN dalam satu kenyataan hari ini berkata Jabatan Kesihatan Sarawak mengisytiharkan satu lagi kluster baharu jangkitan Covid-19 iaitu Kluster Buloh di Sibu, kira-kira 310 kilometer dari sini, membabitkan komuniti di tiga rumah panjang di kawasan Sungai Buloh dalam Daerah Selangau.

Katanya, indeks kes bagi kluster itu merupakan seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala pada 21 Februari lalu selepas mengalami tanda dan gejala Covid-19 sejak 17 Februari.

"Jangkitan berlaku menerusi pergaulan rapat dalam kalangan penduduk di rumah panjang yang terbabit. Hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak rapat mendapati 27 kes baharu dikesan. Sejumlah 68 individu disaring di mana 28 kes dikesan positif Covid-19 termasuk indeks kes, 36 individu negatif, dan empat individu masih menunggu keputusan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, terdapat satu kes kematian baharu melibatkan jangkitan Covid-19 di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 81 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 7:29 PM