GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan negeri mensasarkan 80 peratus rakyat Johor akan menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan bagi menghentikan penularan pendemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, program itu akan bermula, 1 Mac ini.

Katanya, seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), vaksin akan diberikan secara berfasa dengan fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan, diikuti golongan rentan bagi fasa kedua.

"Kami mensasarkan lebih dari 80 peratus rakyat negeri Johor yang akan mendapat imunisasi Covid-19.

"Manakala fasa ketiga akan membabitkan masyarakat umum. Apa yang penting adalah semua yang berada di negeri Johor akan berkelayakan mendapat imunisasi, cuma awal atau lambat sahaja.

"Kerajaan negeri menitik beratkan supaya program imunisasi Covid-19 di Johor dapat dilaksanakan dengan berjaya. Malahan perancangan pelaksanaan program merupakan agenda tetap Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Johor dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Vidyananthan, terdapat empat Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di Johor.

Katanya, antaranya di Hospital Permai di Johor Bahru, Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat, Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 2:38 PM