Masjidilharam. FOTO AFP
Masjidilharam. FOTO AFP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Memang betul semua prosedur operasi standard (SOP) ibadah umrah berkenaan dikeluarkan Arab Saudi tetapi di Malaysia masih dibincangkan di peringkat Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya).

Demikian jawapan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) Datuk Seri Razali Mohd Sham mengenai SOP ibadah umrah norma baharu yang tular di media sosial.

Menerusi perkongsian ramai itu, ibadah umrah dihadkan kepada 25 orang untuk satu kumpulan dan wajib melakukan ujian saringan Covid-19 dengan had umur jemaah 18 hingga 60 tahun.

Malah, anggaran kasar dengan SOP baharu itu kos pengangkutan, penginapan dan makanan di bilik tiga kali sehari meningkat dua kali ganda yang akan ditentukan agensi umrah dipilih.

Razali berkata, pihaknya sudah menghantar surat sebanyak enam kali iaitu yang terakhir pada 29 Januari lalu kepada semua kementerian berkaitan permohonan kebenaran pasukan teknikal melawat Arab Saudi bagi melihat SOP bersesuaian dengan Malaysia.

"Papuh cuba berbincang dengan Motac, tetapi kementerian berkenaan mengatakan semua pendekatan tidak boleh.

"Kita bukan minta hantar jemaah umrah, tapi kita minta supaya hantar pasukan teknikal membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan Motac untuk mengkaji SOP yang sesuai buat jemaah Malaysia.

"Malah, Papuh sanggup membiayai kos pasukan teknikal berkenaan untuk ke sana," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, pihaknya difahamkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM sudah memberi kebenaran untuk lawatan itu, tetapi ditolak Motac.

"Arab Saudi sudah membuka sempadan pada 15 November lalu dan mengalu-alukan Malaysia, tapi kita masih tidak hantar orang (jemaah).

"Banyak negara tidak dibenarkan (oleh Arab Saudi) tetapi Malaysia tidak termasuk," katanya.

Menurutnya, Papuh sangat mengharapkan Motac lebih terbuka untuk berbincang mengenai permohonan pihaknya mengadakan lawatan kerja ke Arab Saudi.

"Beri peluang kumpulan pertama buat analisa apa berlaku di sana dan bentang dalam Jawatankuasa Khas MKN.

"Yang saya tidak faham, dalam surat jawapan kepada kami, semua kementerian tiada halangan membenarkan tetapi Motac tidak bersetuju menyebabkan kita masih tersekat dan tidak tahu sehingga bila jemaah umrah kita tidak dapat melakukan ibadah ke sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 1:49 PM