ZARINAH ketika ditemui di Dataran Putra bagi menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri. FOTO Luqman Hakim Zubir.
ZARINAH ketika ditemui di Dataran Putra bagi menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Lebih 200,000 pekerja dalam industri pengurusan acara di seluruh negara bakal kehilangan pekerjaan mereka sekiranya kerajaan tidak membenarkan sektor itu beroperasi.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarina Mohideen berkata, beliau kecewa kerana sektor itu sering menjadi yang terakhir dibenarkan beroperasi.

Katanya, beliau faham situasi yang dialami oleh negara kini namun pihaknya mahu kerajaan juga memahami situasi yang dialami oleh pengurusan acara terutamanya majlis perkahwinan.

"Kami kecewa kerana suara kami tidak didengari, industri ini sudah nazak dan tidak mampu lagi menampung segala perbelanjaan termasuk bayaran gaji pekerja, premis serta dewan.

"Pemilik premis juga tidak mahu mengurangkan kadar bayaran sewa serta dewan yang sudah ditempah sebelum ini. Selain itu, kami juga terpaksa menanggung kerugian kerana ramai yang mahu membatalkan majlis perkahwinan.

"Ada di antara pengusaha majlis perkahwinan ini terpaksa meminjam pada 'ah long' untuk membayar kembali duit pelanggan.

"Jadi kami mohon supaya kerajaan membenarkan industri ini untuk beroperasi semula sama seperti sektor lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sebelum menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, di Dataran Putra, di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan PPMPM, Daeng Syamsalleh Hamzah berkata, segala wang simpanan yang disimpan sebelum ini hanya boleh bertahan sehingga Mac ini sebelum terpaksa menutup perniagaannya.

"Saya rasakan ini adalah bulan terakhir yang kami mampu untuk hidup, sebab bila memasuki April iaitu bulan Ramadan sudah tentu tiada majlis perkahwinan akan diadakan.

"Wang yang ada semua sudah digunakan, jika sektor ini tidak dibenarkan untuk beroperasi ramai pengusaha akan terjejas serta terpaksa menutup perniagaan masing-masing," katanya.

Pada 19 Februari lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju untuk membenarkan majlis akad nikah diadakan.

Bagaimanapun majlis itu hanya dibenarkan diadakan di pejabat agama dan masjid dengan had maksimum adalah 20 orang tidak termasuk jurunikah serta saksi. Selain itu, majlis berkenaan juga perlu mendapatkan kelulusan daripada pejabat agama terlebih dahulu.

Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), had maksimum jumlah kehadiran upacara akad nikah dibenarkan adalah sebanyak 50 peratus mengikut keluasan premis dengan penjarakan fizikal satu meter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 1:26 PM