AYOB Khan menyempurnakan program penyerahan 34 kenderaan pacuan empat roda. FOTO Nurul Amanina Suhaini
AYOB Khan menyempurnakan program penyerahan 34 kenderaan pacuan empat roda. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket penyeludupan migran yang dikesan menggunakan teknologi dron bagi memantau pergerakan pihak berkuasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan termasuk menembak jatuh dron.

"Memang ada sindiket yang terbabit dalam penyeludupan manusia menggunakan dron untuk memantau aktiviti pihak berkuasa dan juga polis (Polis Diraja Malaysia).

"Banyak kaedah boleh digunakan seperti 'jammed' (memintas sistem) dron itu, selain menembak jatuh. 'Rules of engagement' (peraturan pertempuran) akan dimaklumkan kemudian.

"Saya rasa sudah sampai masa kita ambil tindakan tegas terutama kawasan yang dilarang untuk menerbangkan dron khususnya kawasan operasi, memang tidak dibenarkan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan program penyerahan 34 kenderaan pacuan empat roda di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Sebelum ini, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan mendedahkan sekurang-kurangnya 20 dron bukan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikesan di kawasan perairan negara antara Januari lalu hingga kini.

Namun, sehingga kini, pihaknya masih belum mengambil tindakan drastik seperti menembak jatuh pesawat dron yang dikesan dengan radar tentera.

Berita berkaitan:

  • Sindiket penyeludupan kini guna dron
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 12:13 PM