DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-118 membuat keputusan perbincangan mengenai fahaman dibawa seorang wanita disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk perhatian selanjutnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan beberapa ciapan melalui akaun Twitter, berkata mesyuarat itu diadakan pada 17 Februari lalu bertempat di Kompleks Islam Putrajaya.

Katanya, ia bagi mendengar laporan berkenaan fahaman wanita terbabit yang dibentangkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Sedikit kemas kini perkembangan terkini berhubung fahaman Ibu Yati untuk makluman rakyat Malaysia khususnya umat Islam.

"Hasil resolusi muzakarah termasuk keputusan perbincangan fahaman Ibu Yati telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk perhatian selanjutnya.

"Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jais selaku pihak berkuasa agama negeri atas kerjasama yang utuh dalam memelihara akidah umat Islam," katanya.

Zulkifli berkata, kerajaan Persekutuan dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri sentiasa berganding bahu dalam memastikan isu membabitkan penyelewengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dapat diatasi sebaiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 3:16 PM