AHMAD Samsuri yang ditemui selepas mesyuarat Exco. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
AHMAD Samsuri yang ditemui selepas mesyuarat Exco. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri Terengganu dijangka menerima 15,000 dos vaksin esok dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi individu pertama menerima suntikan berkenaan pada Jumaat

Beliau berkata, pengurusan vaksin itu adalah secara bersama di antara Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan.

"Saya dimaklumkan vaksin akan sampai ke Terengganu esok dengan suntikan pertama kepada mereka yang terpilih dan barisan hadapan akan diadakan pada Jumaat in.

"Suntikan akan diberikan kepada barisan hadapan disusun mengikut daerah dan saya difahamkan untuk negeri Terengganu, Menteri Besar (MB) akan jadi orang pertama," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mengenai waktu ketibaan dan tempat penyimpanan vaksin, Ahmad Samsuri berkata,ia bukan di bawah kuasa kerajaan negeri sebaliknya diuruskan oleh jawatankuasa yang dibentuk.

Katanya, kerajaan negeri hanya menyediakan dan memastikan aspek keselamatan dan segala keperluan infrastruktur diselesaikan.

"Sebenarnya vaksin sepatutnya tiba pada 28 Februari di Terengganu tetapi diawalkan kepada Khamis.

"Kita masih menunggu maklumat lanjut tentangnya dan lokasi suntikan vaksin yang akan dibuat.

"Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menerima suntikan vaksin dan akan diuruskan bersama barisan hadapan di tempat masing-masing memandangkan mereka terbabit untuk keluar bersama dan berjumpa rakyat," katanya.

Kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 tiba di negara ini pada 21 Februari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 1:39 PM