MUHAMMAD Sajjad Kamaruzzaman. FOTO Arkib NSTP.
MUHAMMAD Sajjad Kamaruzzaman. FOTO Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih menunggu waran tangkap daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, yang dikeluarkan terhadap usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman 36, atau dikenali Nur Sajat, sebelum tindakan susulan diambil.

Menurut Jurucakap Jais, pasukan penguat kuasanya akan menangkap Nur Sajat untuk dibawa ke mahkamah bagi proses perbicaraan selepas menerima waran berkenaan.

"Pasukan penguat kuasa menjangkakan waran itu akan diterima hari ini.

"Sebaik waran itu diperoleh, kita akan usaha serta cari dan tangkap Sajat," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan usahawan kosmetik, Nur Sajat dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Menurut sumber, waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii terhadap Nur Sajat.

"Dia (Nur Sajat) dimaklumkan tidak datang dan hakim mengeluarkan waran tangkap," katanya dipetik.

Pada 6 Januari lalu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid SHaee @ Shaii.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan:

  • 'Mahkamah keluar waran tangkap terhadap Sajat [METROTV]
  • 'Saya tunggu tapi dia tak datang' - Peguam Sajat
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 12:08 PM