SANIRAH bersama Khirul yang juga OKU ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Harmoni, Batu 28, Ijok, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
SANIRAH bersama Khirul yang juga OKU ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Harmoni, Batu 28, Ijok, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Walaupun perlu menguruskan anak orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal tetap tabah memegang amanah Allah dalam keadaan berdepan pelbagai kesukaran hidup.

Malah, Sanirah Ismail, 64, tidak mengeluh mahupun kecewa apabila doktor memaklumkan anak lelakinya, Muhammad Khirul Aiman Wagimin, 24, mungkin lumpuh seumur hidup akibat demam panas dan sawan ketika berusia tujuh tahun.

Sanirah berkata, dia akan berusaha memberikan kehidupan terbaik kepada anak syurga itu yang mesra dipanggil Adik.

"Selepas arwah suami, Wagimin Sajat meninggal dunia pada 2010 akibat kanser paru-paru, saya memikul sepenuhnya tugas menjaga Adik sambil dibantu enam anak lain.

"Adik adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Apa pun yang terjadi, saya akan jaga dia dengan sebaiknya dan berharap dia dapat membawa saya ke syurga, satu hari nanti," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Harmoni, Batu 28, Ijok, di sini, hari ini.

Menurut Sanirah, anak bongsu daripada tujuh beradik itu memerlukan penjagaan rapi akibat hanya terlantar dan tidak mampu bercakap.

"Adik makan nasi dan lauk seperti orang lain, tetapi ia perlu dikisar dengan menggunakan mesin pengisar dan perlu disuap.

"Selain memandikannya, saya dengan bantuan anak-anak lain menukar lampin pakai buang yang dipakai Adik empat kali sehari.

"Masa depan Adik, Allah sahaja yang tahu. Saban hari saya berdoa supaya dia sihat sentiasa dan berada dalam peliharaanNya," katanya.

Dalam pada itu, Sanirah turut melahirkan rasa syukur kerana menerima bantuan bulanan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1011829000068850 atas nama Sanirah Ismail atau menghubunginya di talian 013-2847624.

Sementara itu, nasib yang menimpa Muhammad Khirul Aiman mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menerusi hantaran status di laman Facebook, beliau dan isteri, Datin Seri Azlin Hezri menyantuni tiga warga emas dan dua OKU bagi menyerahkan sumbangan termasuk Bakul Rahmah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 3:44 PM