KELAS secara atas talian. FOTO arkib NSTP
KELAS secara atas talian. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Seramai 2,000 pelajar di seluruh negara akan menerima kemudahan pembelajaran dalam talian bagi membantu mereka belajar dengan lebih baik.

Ia hasil kerjasama antara Biro Pendidikan Nasional Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membabitkan pemberian kad sim Tunetalk dengan 10 GB data oleh Ikhlas dan akses ke 20 sesi tutorial dalam talian di aplikasi Askbee.

Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, inisiatif itu diambil susulan wabak Covid-19 mengganggu kaedah penyampaian tradisional dalam sistem pendidikan dan memberi kesan kepada ramai pelajar, terutama mereka yang tidak mempunyai akses tetap ke kemudahan telekomunikasi.

"Menerusi kerjasama berterusan daripada kerajaan, institusi swasta dan sekolah seperti ini, pelajar akan melalui pembelajaran dalam talian lebih lancar tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka," katanya.

Sementara itu, Pengasas Ikhlas, Ikhlas Kamarudin berkata, pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan perniagaan dan mata pencarian, malah sistem pendidikan negara.

"Ramai pelajar terutama yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih tidak dapat mengakses pembelajaran dalam talian, jadi kerjasama itu akan membantu mereka," katanya.

Dalam pada itu, pengasas Askbee, Jason Khong berkata, konsep itu diperkenalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu sebagai tindak balas terhadap cabaran belajar dari rumah yang dihadapi pelajar dan ibu bapa.

"Kami memutuskan untuk membuka platform ini pada saat kritikal untuk membolehkan tutor sukarelawan membantu urusan semakan peperiksaan.

"Askbee menyediakan pendekatan inovatif untuk belajar dengan memberikan akses tuisyen kepada tutor secara dalam talian, untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Mereka membantu pelajar belajar dengan lebih baik dengan memberikan mereka akses langsung dan permintaan kepada tutor peribadi di dalam talian," katanya.

Aplikasi itu ni menawarkan akses mudah yang tersedia untuk dimuat turun di Google Play, App Store atau melalui web.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 3:16 PM