MPK menyita serta membersihkan sebuah tapak pelupusan sampah haram yang beroperasi sejak 10 tahun lalu di Jalan Kem, Pelabuhan Klang. FOTO ihsan MPK
MPK menyita serta membersihkan sebuah tapak pelupusan sampah haram yang beroperasi sejak 10 tahun lalu di Jalan Kem, Pelabuhan Klang. FOTO ihsan MPK
Norzamira Che Noh


Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita sebuah tapak pelupusan sampah haram yang beroperasi sejak 10 tahun lalu di Jalan Kem, Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK Zaireezal Ahmad Zainudin berkata, tindakan berkenaan diambil selepas beberapa notis serta kompaun dikeluarkan kepada pengusaha tapak itu.

"Pengusaha sebelum ini dikenakan notis dan kompaun berdasarkan Undang-Undang Kecil (UKK) Pemungutan Pelupusan Sampah Sarap MPK 2007 Klausa 4 iaitu meletakkan sampah di tempat bukan ditetapkan.

"Jabatan Kesihatan MPK juga mengeluarkan notis atas sebab kacau ganggu dan denggi, manakala Jabatan Pelesenan pula mengeluarkan notis atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Bagaimanapun, pengusaha tidak mengambil endah kompaun serta notis yang diberikan, menyebabkan kita melaksanakan operasi sekali gus menyita premis itu," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, tapak berkenaan yang baru diwartakan kepada MPK akan disita serta dibersihkan.

Katanya, selepas kerja pembersihan selesai, kawalan akan dilakukan dengan meletakkan penghalang bagi memastikan aktiviti pembuangan sampah haram tidak berulang.

"Tapak ini sudah 10 tahun beroperasi, dan sebelum ini ia adalah milik kerajaan persekutuan sebelum diwartakan kepada MPK. Justeru, terdapat kekangan untuk kita mengambil tindakan sebelum ini.

"Bagaimanapun, kita mengambil tindakan segera untuk memastikan tapak ini bebas daripada menjadi tempat pembuangan sampah haram selepas ia diwartakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 2:07 PM