Pesawat Airbus A330-300 milik MAS yang membawa vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Kompleks Kargo KLIA, Ahad lalu. FOTO Ihsan MAHB
Pesawat Airbus A330-300 milik MAS yang membawa vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Kompleks Kargo KLIA, Ahad lalu. FOTO Ihsan MAHB
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Lebih 60 peratus daripada 34,743 petugas barisan hadapan di negeri ini sudah menyatakan persetujuan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula 1 Mac ini, kata Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad.

Pada masa sama, Saarani berkata, pihaknya akan melihat kemungkinan guru dan petugas media menjadi antara penerima suntikan vaksin fasa pertama di negeri ini.

"Sebenarnya, petugas media atau kakitangan kerajaan yang sentiasa berada di lapangan dan berjumpa dengan ramai orang lagi bagus (terima suntikan fasa pertama), cuma ia membabitkan kekangan masa, tempat dan kesesuaiannya, kita akan ikut secara berperingkat.

"Kita akan melihat semula cadangan itu tetapi bukan pada 1 Mac itu kerana pada tarikh berkenaan, kita beri keutamaan kepada petugas barisan hadapan dahulu.

"Kita sudah menyusun (senarai penerima), apa-apapun kita akan menunggu keutamaan keputusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Berkaitan perjalanan suntikan vaksin pada 1 Mac ini, Saarani berkata, semua persiapan sudah dibuat bagi menerima kehadiran penerima mengikut prosedur ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, bagi fasa pertama, sebahagian besar suntikan akan dibuat di hospital dan klinik kesihatan memandangkan ia untuk petugas barisan hadapan kesihatan.

"Di Perak, kita sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyusunkan Stadium Indera Mulia ini sebagai tempat permulaan untuk menetapkan proses kerja yang baik.

"Ia bagi memastikan, di fasa kedua nanti, kita dapat menjalankan (proses suntikan) secara keseluruhan di mana-mana dewan lain yang kita kenal-pasti di negeri ini," katanya.

Dr Ding berkata, Stadium Indera Mulia dikategorikan sebagai Pusat Pemberian 4 (PPV4) berikutan terdapat empat stesen vaksin di lokasi berkenaan.

"Setiap stesen ada ada dua vaksinator (petugas pemberi vaksin), jadi empat bahagian bermakna ada lapan vaksinator.

"Lapan vaksinator ini dapat memberi suntikan vaksin kepada 800 individu dalam sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 1:53 PM