Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu di Jalan Bandar Kinrara 6F, Bandar Kinrara, dekat Serdang semalam hingga merempuh dua kenderaan lain direman selama dua hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, ujian dadah yang dijalankan terhadap individu berkenaan didapati negatif.

"Ujian alkohol turut negatif dan ujian tambahan dilakukan dengan mengambil sampel darah individu terbabit selain kenderaan lelaki terbabit diperiksa.

"Mangsa yang terbabit dalam kemalangan berkenaan mengalami kecederaan ringan dan sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan.

Azman berkata, saksi bebas terutama yang merakam kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Saksi berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Syafiq Mohd Nasir di talian 012-9845477," katanya.

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki disyaki memandu Perodua Myvi secara melulu dan laju hingga merempuh dua kenderaan lain.

Dalam kejadian pada 2 petang itu, pemandu kereta berusia 26 tahun berkenaan merempuh van mengakibatkan pemandunya cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Polis tahan pemandu Myvi langgar van [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 1:48 PM