Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Orang pertama akan disuntik vaksin di Kedah adalah saya, kemudian barisan Exco dan petugas barisan depan," kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, program vaksinasi di negeri itu akan bermula Ahad ini dan satu mesyuarat berkaitannya akan diadakan esok.

Katanya, setakat ini penularan Covid-19 di negeri itu terkawal dengan dan ujian swab terus dijalankan ke atas pekerja industri dan tapak pembinaan.

"Kelmarin di Kedah, ada 15 kes saja, sembilan daripadanya adalah pekerja kilang. Kes muka mingkat apabila kita lakukan ujian swab untuk pekerja industri dan tapak bina.

"Kalau tak ada kes ini saya ingat dalam tujuh atau lapan kes saja. Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada orang Kedah yang patuh Prosedur Operasi Standard (SOP). Penularan dalam kalangan warga tempatan,memang minimum," katanya selepas menjadi tetamu rancangan Malaysia Hari Ini di Sri Pentas, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Syed Hussian Syed Aljunid dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah sedang dalam perancangan untuk menyusun pembangunan secara holistik dengan visi Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni pada tahun 2030.

MUHAMMAD Sanusi di MHI. FOTO Asyraf Hamzah
MUHAMMAD Sanusi di MHI. FOTO Asyraf Hamzah

Untuk itu katanya, ia akan dipacu secara bersepadu merangkumi pendidikan, alam sekitar, program berimpak tinggi, pembangunan, ekonomi dan sosial.

"Kita akan capai satu standard yang mungkin tak ikut teori pakar pembangunan.

"Kita akan capai standard kita. Cara kitalah, orang Kedah, dari segi pertanian, budaya kita, standard yang kita ada, kita akan fokus pada benda inilah," katanya.

Menurutnya dengan cara itu Kedah akan menerima kehadiran orang luar yang akan membawa manfaat kepada ekonomi negeri.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan kepada bidang pendidikan untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada rakyat Kedah.

"Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ayah saya cukup pentingkan pendidikan kepada keluarga kami kerana kami orang susah.

"10 daripada 13 adik beradi ksaya masuk universiti dan kehidupan kami mula berubah. Jadi saya akan berusaha untuk pastikan rakyat Kedah juga mendapat pendidikan yang baik.

"Kita sedang usahakan Cordoba Of Kedah. Kita akan bangunkan satu pelan gagasan besar yang akan digerakkan oleh Exco Pendidikan Negeri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 11:32 AM