Barangan keperluan yang akan diagihkan kepada mangsa banjir Terengganu. FOTO Ruwaida Md Zain
Barangan keperluan yang akan diagihkan kepada mangsa banjir Terengganu. FOTO Ruwaida Md Zain
Ruwaida Md Zain


Klang: Sebanyak 15 tan barangan keperluan berupa gula, beras, minyak masak, tilam, bantal, selimut dan kain sarung akan diagihkan kepada mangsa banjir di Terengganu.

Barangan itu disumbangkan Persatuan Melayu Berketurunan Aceh Malaysia (Permebam) bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan yang terjejas teruk dengan bencana alam yang menimpa baru-baru ini.

Pengerusi Permebam, Datuk Mansyur Usman berkata, pihaknya prihatin dengan nasib mangsa banjir di Terengganu yang mana bencana itu berlaku tatkala negara diserang pandemik Covid-19.

"Ia kesusahan dan ujian berganda buat mereka. Kita tahu bantuan awal sudah diagihkan ramai pihak sama ada kerajaan negeri mahupun NGO di sana. Namun kami lakukan bantuan pasca lepas banjir bagi meringankan beban mereka yang akan kembali memulakan kehidupan seperti biasa," katanya.

Mansyur ditemui ketika majlis pelepasan misi bantuan banjir ke Terengganu. FOTO FOTO Ruwaida Md Zain
Mansyur ditemui ketika majlis pelepasan misi bantuan banjir ke Terengganu. FOTO FOTO Ruwaida Md Zain

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum Misi Pelepasan dan Penghantaran Bantuan Pasca Banjir ke Dungun, Kemaman dan Kuala Terengganu, di sini, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Mansyur berkata, barang keperluan asas itu hasil sumbangan daripada semua lapisan masyarakat Acheh di Malaysia terutama dalam kalangan usahawan.

"Bantuan ini adalah usaha sama ahli Permebam melalui sayap kebajikan bernama Suba; Koperasi Masa Kuala Lumpur Berhad; dan Persatuan Komuniti Melayu Aceh Klang.

"Kegiatan pengumpulan bantuan pasca banjir ini pula dijalankan di sekurang-kurangnya 14 kawasan sekitar di mana masyarakat Melayu Acheh dan peniaga berketurunan Acheh bermastautin.

"Kawasan-kawasan itu adalah Rantau Panjang (tempat pengumpulan) dan Sungai Udang, Klang; Semenyih; Kajang; Rawang; Selayang; Gombak; Ampang; Datuk Keramat; Kampung Baru; Sungai Buloh; Puchong; dan Dato' Harun serta Seremban, Negeri Sembilan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pihaknya bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang memberikan sokongan dalam bidang logistik bagi melakukan penghantaran.

"Penghantaran ini menggunakan beberapa lori milik APM selain menggunakan enam kenderaan sukarelawan kami yang turut mengiringi penghantaran barang ke Terengganu," katanya.

Tambahnya, dia berharap bantuan diberikan itu dapat meringankan sedikit beban dihadapi mangsa banjir.

"Insya-Allah bantuan kepada mangsa banjir dan mereka yang terbabit dalam musibah akan diteruskan pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 11:20 AM