GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
BERNAMA

Ipoh: Perak dijangka menerima sebanyak 79,560 dos vaksin Covid-19 pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamaruddin berkata, pada fasa pertama itu seramai 33,503 petugas barisan hadapan akan menerima suntikan vaksin itu, termasuk Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Beliau berkata, sebanyak 49 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disediakan di seluruh negeri bagi fasa pertama termasuk di Stadium Indera Mulia di sini, manakala bagi fasa kedua dan ketiga tambahan lokasi akan dikenal pasti oleh Pegawai Daerah.

"Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijadual berangkat di PPV Stadium Indera Mulia pada Selasa ini dan ia membuktikan keprihatinan baginda terhadap program pelaksanaan vaksinasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendaftaran awam bagi pelaksanaan vaksinasi bermula bulan depan, sementara fasa kedua antara April dan Ogos membabitkan golongan warga emas 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi yang mengalami penyakit kronik.

Katanya, fasa ketiga pula bermula Mei nanti hingga Februari 2022 iaitu bagi individu berusia 18 tahun ke atas untuk warganegara atau bukan warganegara, dengan keutamaan diberikan pada zon merah seterusnya kuning dan hijau.

Sementara itu, Saarani menasihati rakyat Perak termasuk masyarakat Orang Asli agar tidak takut atau mudah terhasut oleh pihak tertentu, untuk menolak suntikan vaksin Covid-19, demi kebaikan semua.

Beliau berkata, persiapan rapi bagi setiap prosedur pengambilan vaksin Covid-19 sudah dibuat kerajaan negeri, mengikut ketetapan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

"Saya rayu kepada seluruh rakyat Perak terima vaksin ini sebagai kekuatan antibodi kita. Semasa kita di sekolah dulu pun ada terima vaksin, tapi apa kesannya? Kita selamat daripada pelbagai penyakit," katanya kepada pemberita hari ini selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada tenaga pengajar pada Program Pecutan akhir - Kelas SPM 2020 Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Tampan, Lenggong.

Di Kedah, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, seramai 25,000 petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan, akan menjadi penerima vaksin bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Dr Mohd Fikri berkata, barisan hadapan bukan kesihatan itu membabitkan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Pemberi suntikan vaksin atau disebut sebagai Vaccinator juga sudah dikenal pasti, yang terdiri daripada 768 orang kakitangan kesihatan yang terlatih. Mereka diberi latihan menerusi atas talian dan secara amali di Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing.

"Beberapa simulasi juga dibuat di klinik kesihatan dan hospital, bagi pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, vaksin itu akan disimpan di tiga Pusat Simpanan Vaksin (PSV) iaitu di Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi, yang akan diagihkan ke 46 PPV di setiap daerah dan hospital.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 7:33 PM