DR RADZI JIDIN
DR RADZI JIDIN
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) memperincikan guru berkelayakan sebagai penerima vaksin fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menterinya Datuk Dr Radzi Jidin berkata, perincian itu akan ditentukan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sebentar tadi (hari ini) YB Menteri Mosti (Khairy Jamaluddin) menyatakan guru berisiko tinggi mengalami kesan negatif daripada jangkitan Covid-19 adalah antara penerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama-sama petugas barisan hadapan lain.

"Alhamdulillah, permohonan KPM supaya kumpulan ini diberi keutamaan dalam fasa pertama disambut baik oleh Mosti dan KKM.

"(Untuk itu) KPM bersama-sama Mosti dan KKM akan terus memperincikan perkara ini," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Khairy pada sidang media selepas ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech berkata, kerajaan menerima banyak permohonan daripada pelbagai pihak termasuk golongan pendidik untuk memperoleh vaksin menerusi fasa pertama, berikutan sekolah yang akan dibuka semula pada 1 Mac ini.

Beliau dilapor menjelaskan akan berbincang mengenai perkara itu dengan lebih lanjut dan meminta KPM menyediakan senarai guru yang berkelayakan sebagai penerima untuk dinilai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 6:14 PM