FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak dijangka menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada Rabu ini selepas vaksin Covid-19 itu selamat tiba di Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ia bertepatan dengan tarikh pelancaran vaksin berkenaan di Sarawak yang dijadualkan pada Sabtu depan.

"Kita tidak sabar untuk menanti penerbangan yang membawa penghantaran pertama vaksin itu di Sarawak pada 24 Februari ini.

"Ia tepat pada masanya kerana kita akan melancarkan pengedaran vaksin berkenaan di Stadium Perpaduan di Kuching yang akan diadakan serentak di Sibu pada 27 Februari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman sosial Facebook sejurus penerbangan membawa vaksin itu tiba di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata persediaan rapi kini sedang dilaksanakan di Sarawak bagi menerima vaksin berkenaan.

Ia termasuk memastikan kemudahan sokongan lojistik sejuk dan pemantauan rapi terhadap pengangkutan ke tujuh lokasi penghantaran seluruh Sarawak.

Lokasi penghantaran itu ialah Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Sri Aman, Sarikei dan Limbang.

"Langkah seterusnya ialah memastikan vaksin itu selamat tiba di 55 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Sarawak.

"Kita sudah mengadakan latihan penghantaran 'dry run' lojistik sejuk ke PPV di Belaga pada 29 Januari lalu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 5:01 PM