GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Lima jenis Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bersama garis panduan mengurus pembukaan semula sekolah ketika tempoh penularan Covid-19, tahun ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang yang memaklumkan perkara itu berkata, ia merangkumi panduan lengkap mulai ketibaan murid, semasa berada di sekolah dan prosedur operasi standard (SOP) ketika pulang.

Katanya, garis panduan itu juga sudah diedarkan kepada semua sekolah yang bakal dibuka Mac ini.

"Itu merupakan SOP komprehensif untuk memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pada tahap tinggi apabila sekolah dibuka.

"Jika semua aspek dalam garis panduan tersebut dipatuhi, maka sudah pasti ruang untuk penularan jangkitan agak sukar berlaku.

"Apabila murid keluar dari pintu pagar sekolah, guru sudah tidak boleh lagi kawal murid, sehubungan itu, guru-guru telah ditaklimatkan oleh pengetua dan guru besar masing-masing (berhubung panduan itu).

"Pihak sekolah akan melaksanakan berasaskan garis panduan tersebut yang ditaklimatkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kepada pengetua dan guru besar sekolah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, mengenai aspek penjarakan fizikal, ia sudah agak jelas bagi guru dan murid kerana situasi pada tahun ini tidak jauh beza dengan persekitaran, tahun lalu.

Katanya, pembukaan sementara sesi persekolahan ketika tempoh itu memberi pengalaman berguna kepada semua guru dalam mengoperasikan sekolah bermula 1 Mac nanti.

Bagaimanapun, beliau mengakui, agak sukar buat pihak sekolah untuk mengawal aktiviti dan pergerakan murid di luar pintu pagar sekolah terutama bagi mereka yang datang dengan bas sekolah.

"Dalam hal ini, peranan untuk memastikan pematuhan terhadap SOP di luar sekolah bukan sahaja terletak pada bahu guru tetapi lebih penting lagi kepada ibu bapa dan penjaga.

"Ibu bapa diharapkan dapat memberikan pesanan tanpa jemu kepada anak-anak mereka," katanya.

Menerusi Model Pengawalan Keberadaan Murid Di Pintu Pagar Sekolah itu, lima mod pergerakan tiba dan pulang murid dikenal pasti iaitu iaitu berjalan kaki; berbasikal; kenderaan ibu bapa; menaiki bas atau van serta bermotosikal dan lain-lain.

Ditekankan, kaedah penjarakan fizikal sukar dikawal kerana ia bergantung kepada disiplin dan kemudahan murid itu sendiri, selain murid perlu terus balik ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.

Selain itu, garis panduan itu turut menekankan peranan pentadbir dan guru; murid serta ibu bapa bagi memastikan SOP dipatuhi bermula di sekolah sehingga pulang ke rumah.

Lima model pengawalan keberadaan diperkenalkan untuk dilaksana di sekolah mengikut kesesuaian masing-masing iaitu pertama - ruang menunggu di dalam kawasan sekolah; kedua - laluan terarah sehala dan ketiga - kawalan keberadaan murid oleh polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan (PBT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni, Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KSIB) sukarelawan.

Model keempat adalah penyuraian murid secara berperingkat dan kelima adalah menunggu di dalam bilik darjah dengan menggunakan sistem panggilan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 4:28 PM