KEADAAN tanah runtuh sepanjang 200 meter di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, di sini, dipercayai disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke benteng berkenaan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KEADAAN tanah runtuh sepanjang 200 meter di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, di sini, dipercayai disebabkan terjahan air Sungai Kelantan ke benteng berkenaan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
BERNAMA

Pasir Mas: Rumah pusaka berusia lebih 100 tahun di Kampung Pohon Celagi, di sini, kini hanya tinggal kenangan buat pemiliknya, Wan Khadijah Wan Ibrahim apabila kediaman itu roboh menyembah bumi, Rabu lalu.

Wanita berusia 77 tahun itu adalah pemilik kediaman pertama musnah dalam kejadian tebing runtuh di Sungai Kelantan berhampiran Dataran Air Muleh, di kampung berkenaan.

"Rumah nenek boleh dikatakan tempat kelahiran keluarga nenek daripada arwah mak, kelima-lima anak, malah cucu turut membesar di rumah pusaka ini.

"Sejak dilahirkan, nenek membesar di sini, namun benda sudah berlaku jadi kita reda dengan ketentuan Allah.

"Sekarang hanya tinggal kenangan sebab hampir 80 peratus rumah termasuk ruang tamu dan dapur musnah dengan banyak perabot rosak," katanya ketika ditemui Bernama di kampung itu, hari ini.

Wan Khadijah yang menetap bersama anak perempuan sulungnya berusia 59 tahun berkata, rumahnya runtuh pada 9.30 pagi pada hari kejadian.

Katanya, dia menyedari kediamannya berdepan bahaya selepas terdengar dentuman kuat apabila benteng sungai terletak hampir 50 meter di kawasan tanah rendah dari rumahnya itu runtuh pada 5.30 pagi.

"Masa itu, kami bangun bersiap untuk solat Subuh dan tiba-tiba terdengar dentuman kuat dekat kawasan tebing sungai. Kemudian, kami nampak benteng sungai dekat kawasan di bawah rumah sudah runtuh.

"Selepas itu, kami keluar dari rumah, terus menuju ke rumah jiran berdekatan dan menumpang sementara sebab bimbang keselamatan kami. Alhamdulillah kami terselamat daripada sebarang perkara tidak diingini," katanya yang kini menetap sementara di rumah anak keempatnya di Kampung Kubang Panjang Lemal, di sini.

Ditanya mengenai bantuan diperlukannya, Wan Khadijah berharap pihak kerajaan dapat memberi sumbangan sewajarnya kepada penduduk terjejas selain menyelesaikan perkara itu secepat mungkin termasuk penyelesaian jangka panjang supaya kejadian sama tidak berulang.

Semalam, media melaporkan empat rumah musnah susulan kejadian tebing runtuh di kampung berkenaan dan kesemua 45 keluarga merangkumi 98 penduduk yang mendiami kawasan berkenaan dipindahkan ke kawasan selamat.

Sementara itu, penduduk kampung, Suziyatul Akma Zakaria, 37, berharap pihak berkaitan mempertimbang untuk menyediakan penempatan sementara lebih selesa kepada penduduk terjejas.

"Sememangnya pihak berkuasa menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna dekat pekan Pasir Mas, tetapi ramai penduduk tidak duduk di situ sebab keadaan kurang selesa dan bimbang dengan pandemik Covid-19.

"Jadi, kebanyakan penduduk menyewa sementara rumah dan ada menumpang di rumah saudara-mara sebab lebih selesa serta mudah menguruskan hal peribadi termasuk anak yang menjalani kelas secara dalam talian dan sebagainya.

"Saya bersama lima ahli keluarga masih tinggal di rumah yang terletak kurang 100 meter dari kawasan tebing sungai berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 9:27 PM