Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Empat prasarana digital di bawah MyDigital akan mula dibina bagi merancakkan inovasi dan mewujudkan ekosistem digital berkesan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif pertama akan membabitkan pelaburan sejumlah RM21 bilion sepanjang lima tahun melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada.

"Rangkaian gentian optik talian tetap ini akan meliputi hampir 100 peratus kawasan berpenduduk secara berperingkat.

"Ini termasuk daripada 7.5 juta premis pada hujung tahun 2022 kepada 9 juta premis menjelang penghujung 2025.

"Bersandarkan rangkaian gentian optik yang lebih luas ini, negara akan lebih bersedia untuk beralih ke teknologi rangkaian selular generasi kelima (5G) dalam masa terdekat," katanya pada Majlis Pelancaran MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia secara maya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Prasarana kedua katanya, sejumlah RM1.65 bilion akan dilaburkan beberapa syarikat telekomunikasi untuk memantapkan sambungan ke jaringan kabel dasar laut antarabangsa sehingga 2023.

"Ini akan membuka ruang untuk pemindahan data antarabangsa yang lebih cepat dan stabil, sekali gus menurunkan kos internet kepada pengguna di Malaysia.

"Ketiga, sejumlah RM15 bilion akan dilaburkan sepanjang 10 tahun untuk pelaksanaan 5G ke seluruh negara yang akan mewujudkan lebih 105,000 peluang pekerjaan.

"Usaha ini akan dilaksanakan melalui sebuah entiti khusus di bawah kerajaan yang akan diberikan spektrum bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G," katanya.

Beliau berkata, semua syarikat telekomunikasi berlesen akan mendapat akses infrastruktur sama rata dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka.

Muhyiddin melancarkan  MyDigital dan Rangka Tindakan (BluePrint) Ekonomi Digital Malaysia secara dalam talian.
Muhyiddin melancarkan MyDigital dan Rangka Tindakan (BluePrint) Ekonomi Digital Malaysia secara dalam talian.

"Perkongsian kos infrastruktur ini membolehkan syarikat telekomunikasi menjana pulangan lebih tinggi dan seterusnya dapat memberikan khidmat 5G yang lebih baik dan murah kepada pengguna.

"Menjelang hujung tahun ini, teknologi 5G akan mula dinikmati rakyat secara berperingkat. Dengan ini, Malaysia akan menjadi salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa sebenar untuk membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.

"Ia akan mewujudkan lebih banyak perkhidmatan pintar yang membawa kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat bukan sahaja sekadar menjanjikan capaian internet lebih laju tetapi memungkinkan pelbagai aplikasi penting berada dalam genggaman pengguna termasuk aplikasi pemantauan kesihatan bagi pesakit kronik, bantuan kecemasan pintar, dan aplikasi khas bagi warga emas yang tinggal bersendirian," katanya.

Menurutnya, prasarana keempat membabitkan pelaburan antara RM12 bilion hingga RM15 bilion akan dilaburkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan awan (CSP dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Di sini, saya ingin mengumumkan kerajaan setakat ini sudah memberikan kebenaran bersyarat kepada empat syarikat CSP iaitu Microsoft, Google, Amazon serta Telekom Malaysia untuk membina dan menguruskan pusat data berskala hiper dan perkhidmatan cloud services.

"Pusat data yang berskala-hiper ini serta perkhidmatan awan hibridini juga akan diwujudkan untuk menambah ruang penyimpanan data, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan analisis.

"Sebagai langkah untuk memperkasakan perkhidmatan pengkomputeran awan sektor awam, kerajaan menerusi strategi Cloud First, menyasarkan migrasi 80 peratus data awam ke sistem awan hibrid ini menjelang akhir 2022," katanya.

Berita berkaitan:

  • MyDigital sasar buka 500,000 peluang g pekerjaan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 11:20 AM