DidikTV KPM mudahkan PdPR di rumah.
DidikTV KPM mudahkan PdPR di rumah.

Kuala Lumpur: Saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mula bersiaran semalam adalah usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan akses untuk semua murid di seluruh negara kepada pendidikan berkualiti.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga diyakini berupaya membantu pelaksananaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, kerajaan sedar keresahan rakyat dalam situasi sukar dan mencabar ini, termasuk hal berkaitan pendidikan anak.

"Justeru, kerajaan bersetuju mewujudkan saluran khusus untuk siaran TV Pendidikan.

"Hari ini (semalam) terukir satu sejarah kerajaan buat pertama kalinya memperkenalkan DidikTV KPM sebagai saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari," katanya pada majlis pelancaran yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, semalam.

Muhyiddin berkata, sebelum ini kerajaan memperkenalkan modul PdPR berikutan sekolah ditutup semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Menurutnya, pelbagai kaedah dilaksanakan dari rumah seperti secara dalam talian luar talian dan off-site.

Katanya, kerajaan juga sedar murid terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada di kawasan bandar, luar bandar atau pedalaman.

"Oleh itu, kita perlu terima hakikat bahawa pelaksanaan PdPR secara dalam talian masih belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh singkat. Ini kerana sebahagian murid tidak memiliki peranti sesuai dan juga faktor kekangan akses internet.

"Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran dihadapi dan sebagai inisiatif mempelbagaikan sumber pembelaiaran untuk membantu murid tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai untuk pembelaiaran secara dalam talian, KOM menyediakan slot program TV Pendidikan secara terestrial yang disiarkan di TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan DidikTV@NTV7," katanya.

Katanya, siaran pendidikan secara terestrial yang mula disiarkan pada 1972 melalui pelbagai evolusi dalam aspek kandungan siaran dan kaedah penyampaian sebelum ditukar kepada format dalam talian melalui portal EduwebTV pada Mac 2008, seterusnya ditamatkan pada 1 Januari 2009.

Namun demikian, beliau berkata, KPM mengambil inisiatif menghidupkan kembali slot program TV Pendidikan secara terestrial pada awal tahun lalu iaitu semasa PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 4:20 PM