GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Sebanyak 5,709 kes sembuh Covid-19 direkodkan, hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini adalah 229,762 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu Covid-19 pula direkodkan sebanyak 2,998 kes menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah 272,163 kes.

"Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh kes import dilaporkan yang menerima jangkitan di luar negara, sementara 2,991 kes tempatan membabitkan 1,578 warganegara, manakala 1,413 bukan warganegara.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 1,382 kes (46.1 peratus) diikuti oleh Johor sebanyak 436 kes (14.5 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 233 kes (7.77 peratus)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 103 kes (3.4 peratus) yang dilaporkan pula berkaitan kluster di penjara dan lokap membabitkan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (48), Kluster Tembok Bendera (22), Kluster Tembok Tapah (12) dan Kluster Penjara Seberang Perai (7).

Katanya, selain itu ia membabitkan Kluster Penjara Sungai Jelok (7), Kluster Tembok Sungai Udang (4) dan masing-masing satu kes bagi Kluster Penjara Kepayan, Kluster Tembok Mempaga serta Kluster Matambai.

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 41,396 kes dan seramai 231 pesakit Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 115 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Katanya, sebanyak 22 kematian baharu direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di negara ini adalah 1,005 kes atau 0.37 peratus daripada keseluruhan kes dicatatkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 7:00 PM