OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bagi mengesan nelayan tempatan Sungai Chenaam yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya ditemukan terapung di Perairan Tanjung Piandang. FOTO Ihsan APMM
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bagi mengesan nelayan tempatan Sungai Chenaam yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya ditemukan terapung di Perairan Tanjung Piandang. FOTO Ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli

Nibong Tebal: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang mengaktifkan operasi carilamat seorang nelayan yang dilaporkan hilang di Sungai Chenaam di sini, hari ini.

Abdul Jalil Abu Bakar, 52, dilaporkan hilang berikutan botnya ditemukan terapung di sekitar Perairan Tanjung Piandang di sini.

Pengarah (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10 pagi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan oleh Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi bagi mengesan mangsa.

"Turut dalam operasi carilamat yang dikoordinasikan MRSC Langkawi ialah Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perikanan.

"Kita juga mendapat bantuan daripada nelayan tempatan dari Sungai Chenaam bersama 17 bot nelayan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Pulau Pinang berkata, tugas mencari dan menyelamat membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal, BBP Sungai Bakap, BBP Bandar Perda dan BBP Paya Terubong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 6:25 PM