Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan menyelaras perkhidmatan kesihatan merangkumi bidang tugasan pengurusan logistik vaksin, pendaftaran dan mengenal pasti kategori penerima vaksin Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, beliau bertindak sebagai menteri penyelaras dalam pasukan petugas khas itu untuk membuat pelaporan kepada Jemaah Menteri.

Katanya, ia turut membabitkan penyelarasan berkenaan pemantauan pasca-vaksinasi, pentadbir vaksin dan pusat imunisasi di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ini adalah lanjutan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam (kelmarin) berkenaan penubuhan satu pasukan petugas khas untuk menguruskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Struktur CITF menekankan kepada tindakan bersepadu pelbagai kementerian dan badan kerajaan bagi memastikan PICK dapat dilaksanakan dengan kemas, lancar dan teratur dalam mencapai objektifnya.

"Pasukan Pengurusan CITF akan diselia oleh dua Pengarah Bersama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Keong dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman," katanya dalam sidang media maya mengenai penyelarasan pasukan petugas khas imunisasi Covid-19, hari ini.

KHAIRY Jamaluddin pada sidang media yang diadakan secara maya di pejabatnya hari ini. FOTO Bernama
KHAIRY Jamaluddin pada sidang media yang diadakan secara maya di pejabatnya hari ini. FOTO Bernama

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan KKM akan bertindak sebagai urus setia CITF.

Beliau berkata, CITF mengadakan mesyuarat pertama kelmarin bagi memperincikan penyelarasan bidang tugas, struktur kerja dan perancangan keseluruhan PICK.

"Dalam mesyuarat itu, MKN membentangkan kertas kerja berkaitan Pusat Kawalan CITF di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah serta mekanisma penyelarasan yang menghubungkan pelbagai peringkat ini.

"Menerusi CITF, pengurusan sumber manusia akan diselaraskan dengan perkhidmatan bukan kesihatan," katanya.

Khairy berkata, perkhidmatan bukan kesihatan bertanggungjawab bagi pengurusan logistik (utiliti, tempat letak kereta, ICT dan peralatan bukan ICT), dokumentasi, rekod dan pendaftaran, pengurusan maklumat geo-dataraya, komunikasi strategik, pentadbir pusat vaksin di fasiliti awam, pengurusan pengangkutan penerima vaksin, pengurusan sumber manusia, bahagian dan agensi serta sukarelawan.

Selain itu, katanya, pasukan badan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia juga akan terbabit sepanjang PICK berlangsung.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 3:38 PM