ABD Rahim didenda RM25,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini kerana menerima rasuah RM4,000. FOTO AMIR MAMAT
ABD Rahim didenda RM25,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini kerana menerima rasuah RM4,000. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Seorang bekas pegawai kerajaan didenda RM25,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini kerana menerima suapan RM4,000, empat empat tahun lalu.

Tertuduh, Abd Rahim Ali, 63, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh ketika bekerja di Jabatan Perikanan Melaka sebagai Penolong Pegawai Perikanan di Cawangan Pengembangan Dan Pemindahan Teknologi (PPT), menerima suatu benda berharga iaitu wang tunai RM4,000 tanpa balasan daripada Rahim Maarop dan tertuduh mengetahui lelaki berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menerima suapan itu kerana memberi kerja bagi membekalkan 90 unit tong insulasi 75 liter bagi program 'Touch Point' daripada Jabatan Perikanan negeri pada 8 Ogos 2017 di Jabatan Perikanan negeri, Batu Berendam, di sini.

Susulan pengakuan bersalah mengikut Pertuduhan Pilihan Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dengan mengambil kira berdasarkan Seksyen 171 Kanun Prosedur Jenayah.

Justeru, Mohd Nasir dalam penghakimannya menetapkan denda RM25,000 ke atas tertuduh dan enam bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda.

Bagaimanapun, tertuduh melunaskan bayaran denda itu.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam Augustus Walter CN Jacobs.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 7:34 PM