PEMILIK Mangga Asam Boy Honeyy (kanan) tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Kinrara, semalam. FOTO Ihsan FB Mangga Asam Boi Honeyy
PEMILIK Mangga Asam Boy Honeyy (kanan) tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Kinrara, semalam. FOTO Ihsan FB Mangga Asam Boi Honeyy
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pengusaha Mangga Asam Boi Honeyy membuat laporan polis, semalam susulan video tular lelaki dipercayai warga Myanmar menjual air kelapa menggunakan jenama produk itu.

Malah, wanita berusia 20-an itu turut menafikan pembabitan syarikatnya dalam perniagaan menjual air kelapa oleh warga asing menerusi hantaran di Facebook (Fb) rasmi Mangga Asam Boi Honey.

"Di sini saya menafikan sekerasnya berkenaan penglibatan saya terhadap isu (jual air kelapa di tepi jalan) tular ini. Untuk makluman saya hanya menjual Mangga Asam Boi di Seri Kembangan, Selangor.

"Diharap kenyataan ini dapat menjernihkan nama baik perniagaan saya dan seterusnya meredakan perasaan orangg awam terutama nama baik penduduk Dungun, Terengganu dan Seri Kembangan," katanya.

Wanita itu turut memuat naik gambar laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Bandar Kinrara di Serdang.

Menerusi hantaran sama, pengusaha terbabit berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan memaklumkan kepadanya berhubung isu berkenaan.

Dia turut memohon orang ramai berkongsi hantarannya itu.

TANGKAP layar rakaman video yang menunjukkan warga asing menjual air kelapa di persimpangan jalan. FOTO Ihsan FB Mangga Asam Boi Honeyy
TANGKAP layar rakaman video yang menunjukkan warga asing menjual air kelapa di persimpangan jalan. FOTO Ihsan FB Mangga Asam Boi Honeyy

Terdahulu, dua video berdurasi tiga minit 30 saat dan satu minit 31 saat tular di laman sosial menunjukkan dua lelaki warga asing menjual air kelapa di simpang jalan dipercayai di sekitar Persiaran Alpinia, Puchong, Selangor.

Menerusi rakaman video pertama, kelihatan salah seorang warga asing berkenaan duduk sambil menyediakan minuman dengan bekas dan cawan plastik di atas jalan raya.

Manakala, rakannya berdiri dengan mengantung poster tertera gambar kelapa bersama harga serta laman sosial dan nombor untuk dihubungi.

Rakaman video kedua pula menunjukkan seorang lelaki menegur salah seorang warga asing berkenaan kerana menggunakan nama produk tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 4:32 PM