GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok seludup selepas menahan dua individu termasuk seorang wanita warga Indonesia di Bagan Sekinchan, Sekinchan, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Rizal Mohamed berkata, dalam serbuan pada jam 5 petang itu, polis menahan pasangan berusia 25 dan 26 tahun berkenaan dalam sebuah kereta.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemui 75 karton rokok tidak bercukai pelbagai jenama disembunyikan di dalam kenderaan terbabit.

"Anggaran nilai rampasan rokok adalah RM5,148 dengan cukai berjumlah RM8,118," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rizal berkata, susulan tangkapan, pihaknya menyerbu dua premis berasingan di Taman Perindustrian Pertama dan Taman Sekinchan .

"Pemeriksaan di kedua-dua premis itu menemui 1,960 karton rokok bernilai RM139,354 dengan nilai cukai sebanyak RM228,756.

"Turut dirampas sebuah kenderaan, tiga telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM10,306, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM412,682," katanya.

Menurutnya, suspek dibawa ke Balai Polis Sekinchan bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. Tangkapan dan rampasan berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Sekinchan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 12:51 PM