GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Noor Hidayah Tanzizi


Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan semua masjid dan surau menerima bilangan jemaah solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah, mengikut keluasan dewan solat utama dengan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Surau itu termasuk dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan itu dikurniakan selepas baginda berpuas hati dengan keupayaan jawatankuasa dan pegawai masjid melaksanakan garis panduan operasi (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan MKN Perak serta berlandaskan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Menurutnya, jemaah yang dibenarkan solat Jumaat di masjid dan surau mestilah warga negara dan penduduk tetap Malaysia serta berusia 12 tahun ke atas.

Beliau berkata, bagi solat fardu pula, kebenaran diberikan kepada jemaah lelaki dan wanita warga negara dan penduduk tetap Malaysia berusia 12 tahun ke atas.

"Kuliah ilmu dibenarkan di masjid dan surau dalam ruang waktu antara selesai solat Maghrib sementara menantikan masuknya waktu Isyak dan aktiviti dihentikan sebaik masuk waktu Isyak.

"Tidak melebihi 30 minit kepada jemaah yang berada dalam masjid dan surau sementara menanti azan solat Jumaat dan tidak lebih 30 minit selepas selesai menunaikan solat Subuh," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Annuar berkata, kumpulan berisiko tinggi terutama mereka yang menghidap penyakit tertentu dan sedang menjalani rawatan perubatan dinasihatkan tidak menghadiri aktiviti berkumpulan di masjid dan surau.

Menurutnya, jamuan dalam masjid dan surau merangkumi perkarangan kawasannya adalah tidak dibenarkan.

Katanya, di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula tidak dibenarkan sebarang aktiviti dilaksanakan di masjid dan surau.

"Untuk memastikan jarak fizikal diamalkan dan mengelak kesesakan ketika jemaah mencari kasut selepas selesai menunaikan solat, jemaah dinasihatkan membawa beg menyimpan kasut yang membolehkan kasut dibawa ke dalam masjid dan surau," katanya.

Beliau berkata, ketetapan itu berkuat kuasa bermula solat Maghrib, 18 Februari ini sehingga dikeluarkan apa-apa ketetapan baharu.

Katanya, Sultan Nazrin memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah Allah dan beribadah secara berjemaah.

"Perkenan baginda untuk menambah atau mengurangkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak Covid-19 di Perak.

"Dalam memenuhi hasrat itu, baginda perlu mengutamakan faktor keselamatan kesihatan jemaah serta menimbangkan tugas berat petugas barisan hadapan menangani wabak Covid-19 ketika ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 10:35 AM