Rosman Shamsudin


Slim River: Simpati melihat seekor kucing yang kesakitan selepas kaki depan dan belakang sebelah kiri putus, Halim Hassim, 49, mengambil keputusan merawat serta memelihara haiwan itu.

Halim yang bekerja di Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) Nasional cawangan Tanjung Malim berkata, dia menemui kucing jantan itu di tepi jalan dekat Sungkai ketika dalam urusan kerja pada awal bulan lalu.

Katanya, ketika memandu dia ternampak kelibat kucing di tepi jalan lalu memberhentikan kenderaan.

"Pada mulanya, saya ingatkan kucing itu kesakitan akibat dilanggar kenderaan namun bila diperhatikan lebih dekat, kelihatan kaki depan kucing itu sudah terputus manakala kaki belakang terkulai," katanya ketika ditemui di Taman Bukit Slim, dekat sini.

Halim berkata, dia kemudian membawa kucing itu ke sebuah klinik veterinar di pekan Slim River.

"Kaki depan dan belakang kucing itu tidak dapat disambung kembali namun saya terkejut apabila doktor mengesyaki kecederaan itu disebabkan perbuatan manusia kerana terdapat kesan kelar pada kaki kucing terbabit," katanya.

Menurutnya, dia mengambil keputusan memelihara kucing jantan itu dan diberikan nama Kudung.

"Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya apakah salah kucing ini sehingga tergamak diperlakukan dengan kejam sekali.

"Kucing juga makhluk Tuhan dan kalau tidak suka kucing sekalipun, janganlah bertindak kejam sehingga menyeksa binatang," katanya.

Halim berkata, hanya orang yang tahu hikmah dan kebaikan memelihara kucing saja yang akan menjaga haiwan itu dengan baik.

HALIM menunjukkan kecederaan dialami Kudung. FOTO Rosman Shamsudin
HALIM menunjukkan kecederaan dialami Kudung. FOTO Rosman Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 2:59 PM