SET pembesar suara dan air ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Lebuh Kampung Benggali. FOTO Ihsan Polis.
SET pembesar suara dan air ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Lebuh Kampung Benggali. FOTO Ihsan Polis.
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Sepuluh individu termasuk dua wanita sanggup merentas daerah dan menyewa sebuah pangsapuri semata-mata untuk berpesta air ketum.

Namun tindakan mereka yang bekerja sebagai peniaga, penghantar barang, pekerja kilang, pekerja depoh, kakitangan hospital kakitangan agensi kanak-kanak, hanya mengundang padah apabila dikesan polis yang menyebabkan kesemuanya ditahan dalam Op Pematuhan Covid-19 dan Op Limau, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sepasukan anggotanya menyerbu pangsapuri di Lebuh Kampung Benggali di sini, pada 1.10 pagi selepas menerima laporan kegiatan berkenaan.

"Ketika serbuan, didapati lapan lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 31 tahun berada di dalam pangsapuri itu dan pemeriksaan menemui enam bungkusan plastik berikat getah yang setiap satu berisi cecair disyaki air ketum.

"Juga ditemui satu botol plastik berisi cecair disyaki air ketum dan satu set pembesar suara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati 10 individu itu kebanyakannya dari Seberang Perai Tengah dan didapati merentas daerah serta menyewa pangsapuri itu pada harga RM150 sehari untuk berhimpun dan berhibur sekali gus melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Noorzainy berkata, semua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing negatif dadah.

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan dikompaun RM1,000 di bawah Peraturan 4(1) dan 10(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana berhimpun untuk aktiviti sosial dan rentas daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 10:07 AM