GUA Tempurung. FOTO Arkib NSTP
GUA Tempurung. FOTO Arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Semua 18 lokasi yang dimasyhurkan sebagai geopark di negeri ini tidak terbabit dengan sebarang aktiviti pengkuarian, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan beberapa pihak dan media yang membangkitkan isu aktiviti pengkuarian di 30 lokasi gua batu kapur di Lembah Kinta.

"Bagaimanapun, 30 lokasi gua batu kapur itu tidak disenaraikan sebagai geotapak bagi Geopark Lembah Kinta.

"Semua 18 lokasi geopark dinyatakan tidak terbabit dengan aktiviti pengkuarian seperti dinyatakan dan akan terus dipelihara selagi ia menjadi tarikan pelancong," katanya pada sidang media secara maya, kelmarin.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil.

Nolee Ashilin berkata, aspek keselamatan menjadi satu daripada elemen yang dititikberatkan kerajaan negeri supaya pelancong berasa selamat apabila berkunjung ke lokasi geotapak berkenaan.

Beliau berkata, seperti yang dijelaskan pada kenyataan media Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, kerajaan negeri menitikberatkan aspek pemulihan kuari yang mana kerajaan menggubal Dasar Mineral Negeri Perak dengan menumpukan elemen pemulihan.

Menurut beliau, pelan ini akan memastikan, walaupun sektor berkenaan diteruskan, tetapi ia tetap dipelihara dan dipulihara supaya mampu menyumbang kepada sektor pelancongan juga.

"Geopark Lembah Kinta sangat berbeza dengan lokasi geopark lain. Geopark Lembah Kinta terletak di tengah bandar raya yang membangun.

"Tidak seperti geopark lain yang terletak di kawasan alam semula jadi yang jauh dari zon pembangunan. Ia merupakan cabaran kepada kerajaan negeri untuk memelihara produk berteraskan alam semula jadi ini di tengah bandar yang mempunyai kepelbagaian dari segi aktiviti ekonomi," katanya.

Beliau berkata, pembangunan yang dilaksanakan juga sangat minimal seperti pemasangan papan tanda tunjuk arah, mercu tanda dan papan tanda informasi di lokasi geopark.

"Selain itu, pembangunan yang akan dirancang dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi mengelak kan pencemaran pemandangan di lokasi geotapak kesan daripada pembangunan yang ekstrim," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, pemasyhuran Geopark Lembah Kinta pada Oktober 2018 membuka ruang kepada Perak menambah nilai produk pelancongan sedia ada bagi menarik kehadiran pelancong.

"Geopark Lembah Kinta ini satu produk pelancongan yang unik dan baharu. Ia membabitkan keluasan 1.952 hektar merangkumi Kinta dan Kampar.

"Daripada keluasan berkenaan, 18 lokasi geotapak sudah diiktiraf Jabatan Mineral dan Geosains (JMG)," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri mempertanggungjawabkan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) sebagai penyelaras bagi tujuan pelaksanaan dan pemantauan program Geopark Lembah Kinta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 7:05 AM