Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sebanyak 320 kompaun dikeluarkan polis bagi kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di sekitar daerah Timur Laut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu sehingga semalam.

Kesalahan paling banyak dikesan sehingga dikenakan kompaun ialah berkumpul tanpa alasan munasabah dan lepak di tepi pantai.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana masyarakat sedia maklum mengenai SOP dan norma baharu susulan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pemantauan pematuhan terus dijalankan menerusi operasi bersasar di kawasan sesak dan tumpuan orang ramai termasuk di pasar awam serta tapak binaan.

"Hari ini, 15 kompaun dikeluarkan menerusi operasi bersasar dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah Timur Laut.

"Dua daripadanya ialah tidak memakai pelitup muka dengan betul yang dikesan di pasar awam," katanya ketika ditemui semasa melakukan pemantauan di Pasar Awam Lebuh Cecil, di sini, hari ini.

Soffian berkata, terdapat beberapa kelemahan dikenalpasti di pasar awam berkenaan seperti pergerakan keluar masuk ke premis berkenaan tidak diselaraskan.

SOFFIAN (kiri) berbual dengan orang ramai ketika mengetuai Op Bersasar Pematuhan SOP di Pasar Lebuh Cecil, Georgetown, hari ini. FOTO DANIAL SAAD
SOFFIAN (kiri) berbual dengan orang ramai ketika mengetuai Op Bersasar Pematuhan SOP di Pasar Lebuh Cecil, Georgetown, hari ini. FOTO DANIAL SAAD

Katanya, keadaan pasar agak sesak berikutan orang ramai yang mendapatkan keperluan pada saat akhir bagi menyambut Tahun Baharu Cina.

"Kami sudah maklumkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi memperkemas laluan keluar masuk.

"Pada masa sama, kami akan meletakkan pasukan pemantau berpakaian preman bagi memantau pematuhan SOP dan tujuannya bukan hendak mengeluarkan kompaun semata-mata, sebaliknya mendidik masyarakat bagi memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Soffian turut mengingatkan masyarakat yang akan menyambut Tahun Baru Cina supaya mematuhi SOP sepanjang perayaan itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 7:54 PM