GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Mengharapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itu peribahasa yang dapat menggambarkan nasib kumpulan penghibur jalanan atau busker.

Mereka antara golongan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sehingga ada yang terpaksa menjual peralatan muzik dan mencari pekerjaan lain.

Ketika kerajaan membenarkan persembahan di dalam premis pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) sebelum ini, ia memberi peluang kepada mereka mencari pendapatan.

Namun apabila PKP 2.0 dikuatkuasakan, kumpulan busker antara yang tidak dibenarkan beroperasi.

Busker sepenuh masa, Din Zuwannie Zainaldin, 31, berkata dia bergantung dengan wang simpanan untuk meneruskan kehidupannya di ibu kota sejak setahun lalu.

"Saya sempatlah mencari pendapatan dengan membuat persembahan di restoran ketika PKPB dan PKPP yang lalu.

"Apabila PKP 2.0 dilaksanakan, sekali lagi saya terpaksa menggunakan wang simpanan untuk menampung keperluan harian, membayar sewa rumah, pelbagai bil dan menghantar wang kepada keluarga di kampung.

"Pendapatan sampingan saya sebagai guru muzik juga terjejas kerana tidak dapat mengajar secara bersemuka," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Din Zuwannie yang masih bujang berkata, dia sangat simpati kepada rakan lain yang berkeluarga kerana ada antaranya terpaksa menjual peralatan muzik untuk mendapatkan wang kerana hilang punca pendapatan.

Sementara itu, Presiden Kelab Malaysia Buskers (MYBC) Wady Hamdan berkata, golongan busker menerima kesan yang cukup besar sejak Covid-19 melanda negara.

Beliau berkata, lebih 13,000 buskers berdaftar di bawah MYBC hilang punca pendapatan terutama penghibur jalanan sepenuh masa.

"Pelbagai inisiatif dilakukan MYBC untuk membantu ahli termasuk mengumpulkan dana daripada orang perseorangan dan syarikat korporat untuk membantu untuk membantu mereka.

"Ia sedikit sebanyak dapat menyalurkan bantuan berupa barangan asas kepada ahli seluruh negara," katanya.

Selain itu, katanya, MYBC turut menerima bantuan dan sokongan daripada kerajaan negeri Perak serta Selangor.

Tambah beliau, pihaknya sudah memohon kepada kerajaan supaya membenarkan kumpulan buskers membuat persembahan di dalam premis seperti ketika PKPB dan PKPP dalam usaha membantu mereka menjana pendapatan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 4:12 PM