Dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Serai Lima, Taman Industri Apam Utama, Lubok Jong di Pasir Mas, Sabtu lalu. Foto Ihsan PDRM
Dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Serai Lima, Taman Industri Apam Utama, Lubok Jong di Pasir Mas, Sabtu lalu. Foto Ihsan PDRM
Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Dua lelaki ditahan selepas memiliki 1.4 kilogram dadah disyaki jenis syabu dan tiga biji pil kuda bernilai RM210,030 di sebuah rumah di Kampung Serai Lima, Taman Industri Apam Utama, Lubok Jong di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas membuat serbuan dan menemui dua lelaki berusia 30 dan 36 tahun di hadapan kediaman berkenaan pada 11 malam.

Menurutnya, pasukan itu kemudiannya membuat pemeriksaan badan pada kedua-dua lelaki berkenaan, namun tidak menjumpai sebarang barangan salah pada suspek pertama sebelum menemui pil kemerahan disyaki pil kuda dalam dompet suspek kedua.

"Seterusnya anggota menjalankan pemeriksaan di dalam rumah sebelum menjumpai satu bekas plastik tertutup yang disorokkan di celah periuk atas kabinet dapur, mengandungi lapan plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

"Selain itu, hasil pemeriksaan lanjut turut menemui satu kotak polisterin juga berisi plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu di bawah bangsal di luar rumah.

"Kedua-dua suspek kemudiannya ditahan, barangan yang ditemui turut dirampas serta sebuah kereta jenis Perodua Viva disita dan dibawa ke IPD Pasir Mas bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad Roy berkata, terdahulu pihaknya juga menangkap seorang lelaki berusia 43 tahun kerana memiliki 44 gram dadah jenis syabu dan 20 biji pil kuda bernilai RM4,600 di tepi jalan Kampung Lemal di sini, pada hari yang sama.

"Kesemua kes ini mempunyai hubung kait antara satu sama lain dan ketiga-tiga suspek warga tempatan terbabit positif dadah jenis methamphetamine melalui hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan.

"Semakan juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(2) dan 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 10:30 AM