HALIZA (kanan) menziarahi keluarga Salimah dan menyumbangkan tiga telefon bimbit serta bantuan kewangan, hari ini. FOTO Murnaena Muhammad Nasir
HALIZA (kanan) menziarahi keluarga Salimah dan menyumbangkan tiga telefon bimbit serta bantuan kewangan, hari ini. FOTO Murnaena Muhammad Nasir
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Seorang ibu gembira apabila tiga anaknya yang berada di Tingkatan 1, Tahun 4 dan Tahun 2 menerima bantuan tiga telefon bimbit daripada badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, hari ini.

Suri rumah, Salimah Mohd Ali, 28, berkata, keluarganya bersyukur dan berterima kasih atas kunjungan dan bantuan diberikan itu.

Menurutnya, sebelum ini tiga anaknya Azimah, 13, Suhaima, 10 dan Zulakmal, 8, terpaksa bergilir-gilir meminjam telefon bimbit miliknya.

"Gaji suami, Mohd Azizul Zulkifli, 36, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak mencukupi untuk membeli gajet bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Gaji kasar bulanan RM1,200 diterima suami yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan hanya boleh menampung bayaran sewa dan perbelanjaan rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras, hari ini.

Ibu kepada enam anak itu berkata, dua lagi anaknya iaitu Aqilah, 6, dan Awatif, 4, yang kini belajar di Tabika Perpaduan turut melaksanakan kaedah PdPR.

Menurutnya, agak sukar memantau kelima-lima mereka belajar 'online', tetapi dia harus belajar dan menyesuaikan diri dengan normal baharu ini.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Haliza Abdul Halim berkata, pihaknya berbesar hati dapat membantu meringankan beban keluarga Salimah.

"Bantuan ini untuk masa depan anaknya supaya tidak tercicir dalam pelajaran. Kami akan membeli satu mesin pencetak untuk keluarga Salimah.

"Sumbangan tiga telefon bimbit dan bantuan kewangan bagi kegunaan membeli data Internet hari ini adalah daripada dana sumbangan orang ramai," katanya.

Menurutnya, tahun lalu, pihaknya memberi sumbangan 28 komputer riba dan mesin pencetak kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Katanya, mereka membabitkan penuntut IPTA dan pelajar daripada anak gelandangan serta golongan B40 yang tidak berkemampuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 7:27 PM