Tinjauan banjir di kawasan Tebakang Dayak dan Tebakan Melayu, berhampiran sempadan Tebedu, 5 Februari lalu. FOTO NADIM BOKHARI
Tinjauan banjir di kawasan Tebakang Dayak dan Tebakan Melayu, berhampiran sempadan Tebedu, 5 Februari lalu. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus menurun dengan 528 orang daripada 175 keluarga masih berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Serian, petang ini.

Sehingga jam 5 petang ini, tiga PPS yang masih aktif ialah PPS terbabit ialah Dewan Kampung Slabi Entukuh yang menempatkan seramai 42 mangsa, Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh (338) dan Dewan Maayarakat Serian (148).

Dua lagi PPS di Serian iaitu Dewan Kampung Rimba Padi dan Dewan Serbaguna Ranchan ditutup tengah hari tadi.

Sementara itu, semua empat PPS di Simunjan iaitu di Dewan Masyarakat Lubok Buntin, Dewan Mesra Simunjan, Dewan Kampung Entangor dan Masjid Kampung Seruyuk, juga sudah ditutup pada jam 1 tengah hari tadi.

Banjir gelombang ketiga melanda Sarawak tahun ini sejak Selasa lalu dan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan mencecah jumlah tertinggi seramai 1,071 orang daripada 343 keluarga pada jam 8 malam, Jumaat lalu.

Kali pertama banjir berlaku pada 12 Januari lalu dan berlarutan selama sembilan hari sehingga memaksa seramai 4,781 daripada 1,273 keluarga dipindahkan ke PPS.

Banjir gelombang kedua pula bermula 30 Januari lalu dan berlarutan sehingga 2 Februari dengan 186 mangsa daripada 52 keluarga ditempatkan di PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 6:40 PM