GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang kelindan lori didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh anak tiri perempuannya yang berumur enam tahun, bulan lepas.

Bagaimanapun, lelaki berusia 32 itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Sungai Tua Baharu, Gombak di sini pada 1 pagi, 12 Januari lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh telah menampar pipi serta memukul kepala mangsa dengan tangan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu dia perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan, dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta dilarang tinggal serumah dengan mangsa dan ibu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 Mac untuk sebutan kes bagi urusan serahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 6:37 PM