LOKASI kejadian tapak pembakaran terbuka oleh syarikat pengendali tapak pelupusan sisa lengai yang didenda RM100,000. FOTO ihsan JAS
LOKASI kejadian tapak pembakaran terbuka oleh syarikat pengendali tapak pelupusan sisa lengai yang didenda RM100,000. FOTO ihsan JAS
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebuah syarikat pengendali tapak pelupusan sisa lengai didenda RM100,000 oleh MahkamahS esyen 2, Sepang hari ini kerana menyebabkan pembakaran terbuka tahun lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) Nor Aziah Jaafar berkata, syarikat itu didenda kerana menyebabkan berlakunya pembakaran terbuka di tapak pelupusan di Mukim Dengkil pada 26 Februari tahun lalu.

"Hakim Noor Hisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat terbabit yang mengaku bersalah di atas pertuduhan mengikut Seksyen 29A(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dijatuhkan hukuman maksimum sebanyak RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JAS, Mohd Ridzuan Zainal manakala syarikat diwakili oleh peguam Shaik Mohamed Imran Mohd Ismet Bashah.

"Wakil syarikat yang hadir mengaku salah di atas pertuduhan yang dibacakan dan mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM100,000 bagi kesalahan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata, JAS akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

"Terima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat mengenai aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

"JAS menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 5:44 PM