ANTARA barangan yang dirampas. FOTO ihsan polis
ANTARA barangan yang dirampas. FOTO ihsan polis
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Tindakan seorang lelaki menjadikan rumahnya sebagai lokasi transit menyimpan jubah, cadar dan bantal seludup bernilai RM32,530 membawa padah apabila dia ditahan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintenden Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, polis terserempak seorang lelaki sedang memunggah barang ke rumah yang terletak di tepi Sungai Golok di Kampung Tepi Sungai, di sini.

Katanya, polis kemudian melakukan pemeriksaan dan menemukan bungkusan guni mengandungi 304 jubah wanita, 36 set cadar dan 15 bantal dipercayai diseludup dari Thailand.

"Polis juga menemukan pemilik rumah berkenaan dalam rumah itu. Semua barangan disyaki dibawa masuk melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok. Pemilik rumah juga gagal mengemukakan dokumen atau invois pemilikan barangan terbabit yang sah.

"Kita merampas semua barangan, menahan dua lelaki berkenaan dan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, barang dirampas diserah kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 9:18 AM