DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Selepas Kluster Pasai membabitkan upacara pengebumian dilaporkan di Sarawak baru-baru ini, satu lagi kluster jangkitan Covid-19 sama dalam dikesan di negeri itu, hari ini, membabitkan 59 kes positif.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Seruas itu dikesan membabitkan daerah Beluru dan Miri di Sarawak.

"Kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 30 Januari lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan satu majlis pengebumian yang berlangsung daripada 25 hingga 27 Januari lalu dan nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks iaitu di Seruas, Bakong, Beluru," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini kluster membabitkan pengebumian pernah dilaporkan di Sarawak iaitu Kluster Pasai yang dikesan di Sibu dan kini sudah menjangkiti seramai 2,359 individu.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya turut mengesan satu lagi kluster membabitkan perhimpunan agama, kali ini di Teluk Intan, Perak.

Katanya, Kluster Lorong Mawar, membabitkan daerah Hilir Perak dan kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 21 Januari lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan satu perhimpunan keagamaan di Teluk Intan dan nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks iaitu di Lorong Mawar, Taman Juta Intan, Teluk Intan.

"Sehingga hari ini, sejumlah 65 individu sudah disaring, dengan 14 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Beliau berkata, selain Kluster Seruas dan Kluster Lorong Mawar, lima lagi kluster baharu jangkitan Covid-19 dikesan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster sebanyak 895.

Katanya, tiga daripada kluster baharu itu membabitkan jangkitan di tempat kerja iaitu Kluster Tapak Bina Lebah Selatan dan Kluster Jalan Bagan, kedua-duanya di Selangor serta Kluster Jalan Gangsa Dua di Johor; dua membabitkan komuniti iaitu Kluster Seruas dan Taman Segar di Perak dan masing-masing satu iaitu kluster keagamaan (Kluster Lorong Mawar) dan kluster kumpulan berisiko tinggi (Kluster Ampang Campuran di Selangor).

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, tujuh kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Pintu Geng, Kluster Ehsan Ibol, Kluster Persiaran Heights, Kluster Langkasuka, Kluster Wawasan, Kluster Jalan BBN, dan Kluster Texmile, menjadikan jumlah kluster yang tamat sebanyak 454 kluster manakala yang masih aktif sebanyak 441 kluster.

"Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini sebanyak 81 kluster manakala kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Industri Serkam (246 kes),Kluster Gudang Salak Tinggi (127 kes), dan KlusterTapak Bina Lembah Selatan (99 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 7:57 PM