DATUK Seri Ahmad Maslan ketika tiba sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Ahmad Maslan ketika tiba sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Pontian: UMNO buat julung kali dijangka mengadakan dua Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia membabitkan PAU edisi 2020 selain PAU 2021 selaras keputusan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memberi perlanjutan kepada UMNO bagi mengadakan PAU 2020 sehingga Jun tahun ini, berikutan mesyuarat dijadualkan berlangsung 30 dan 31 Januari ditangguhkan selaras perisytiharan darurat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua.

Katanya, perkara paling penting ialah menyelesaikan PAU 2020 sebelum memikirkan PAU 2021 yang ada pemilihan, namun masih belum diputuskan kaedahnya.

"Bagi PAU 2021, Presiden memutuskan supaya ia diadakan pada tahun ini juga, dan itu adalah keputusan Presiden.

"Cuma tarikh PAU 2020 belum diputuskan kerana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO masih belum boleh bermesyuarat kerana pelaksanaan PKP.

"Namun sekiranya PKP berlanjutan sehingga selepas 18 Februari ini, MKT dijangka akan mengadakan mesyuarat secara maya bagi memutuskan tarikh PAU 2020," katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ke Pejabat Kadi Daerah Pontian di sini, hari ini.

Pada 31 Januari lalu, Ahmad dilaporkan memberi bayangan perhimpunan agung parti akan diadakan secara maya jika PKP dan darurat masih berkuat kuasa.

Bagaimanapun Ahmad dilaporkan berkata, tarikh perhimpunan seperti yang lazimnya diadakan secara besar-besaran itu akan dimaklumkan kemudian seiring dengan perubahan berikutan pandemik Covid-19.

Mengenai PAU 2021 pula, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, perinciannya termasuk tarikh dan kaedah pemilihan yang bakal diadakan juga masih belum diputuskan.

Katanya, adalah lebih baik menumpukan dan selesaikan dahulu PAU 2020 yang perlu diadakan sebelum pertengahan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 3:39 PM