DR MOHD ROSLI HAININ. FOTO IHSAN UMP
DR MOHD ROSLI HAININ. FOTO IHSAN UMP
Asrol Awang


Kuantan: Enam kategori penuntut berkeperluan dibenarkan kembali ke kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) secara fizikal mengikut jadual ditetapkan untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diteruskan secara efektif.

Sehubungan itu, UMP bersedia menerima kemasukan penuntut secara fizikal ke kampus mulai 6 Mac ini bagi mengikuti pengajian semester dua sesi 2020/2021.

Bagi penuntut dari Sabah, Sarawak dan Labuan, mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri masing-masing sebelum hadir ke kampus pada 20 dan 21 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP Prof Dr Mohd Rosli Hainin berkata, keputusan itu selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurut beliau, UMP menyediakan pelan tindakan bagi kemasukan penuntut ke kampus dengan mengambil kira perkembangan semasa dalam tempoh negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

"Persediaan merangkumi keselamatan warga kampus, saringan kesihatan, keperluan kritikal dalam melaksanakan PdP secara norma baharu dan pada masa sama, PdP secara dalam talian masih diteruskan," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, UMP juga mengenal pasti penuntut orang kurang upaya (OKU), tiada akses Internet dan tidak mempunyai persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian untuk kembali ke kampus.

Beliau berkata, UMP berterima kasih kepada KPT yang memberi panduan dan membenarkan IPT untuk menyesuaikan keputusan dengan keadaan di IPT masing-masing.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Bilik Gerakan UMP di talian 09-549 3333 (UMP Kampus Gambang) dan 09-424 6999 (UMP Pekan).

"Namun, sebarang perubahan tertakluk kepada ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 3:43 PM