FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Alor Setar: Polis sedang melakukan siasatan menyeluruh berhubung kes kematian orang kena tangkap (OKT) yang juga bekas sukarelawan polis ketika dalam tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, 28 Januari lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen kekerasan, kecuaian, salah laku pegawai dan anggota yang terbabit selain kecederaan yang mungkin berlaku akibat pergelutan semasa tangkapan.

"Sehingga kini 47 orang saksi dipanggil dan dirakam percakapan. Mereka adalah ahli keluarga, pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam tangkapan serta pegawai dan anggota polis yang menjaga lokap.

"(Turut dirakam percakapan) OKT lain yang ada bersama di dalam lokap semasa arwah ditahan dan juga pegawai perubatan daripada Hospital Yan dan Hospital Sultanah Bahiyah, di sini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata OKT itu, Muhammad Afis Ahmad ditahan pada 27 Januari lalu di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan berkaitan kes curi dan menyamar sebagai anggota polis.

Menurut Hasanuddin, sewaktu tangkapan dibuat arwah bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis yang menyebabkan dia mengalami kecederaan di bahagian muka, telinga dan dahi.

"Pada jam 12.30 tengah malam 28 Januari arwah didapati tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Yan. Pada jam 1.10 pagi arwah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas," katanya.

Beliau berkata pada 29 Januari, bedah siasat dijalankan oleh pakar pathologi Hospital Sultanah Bahiyah, yang mengenal pasti punca kematian disebabkan oleh 'blunt force trauma' di bahagian kepala, bagaimana pun laporan penuh bedah siasat itu belum diperolehi.

Katanya, arwah sebelum ini pernah berkhidmat sebagai sukarelawan polis di IPD Kuala Muda antara 2013 dan 2014 sebelum ditamatkan perkhidmatan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Arwah juga sebelum ini pernah ditangkap sebanyak lapan kali atas kesalahan dadah dan jenayah serta pernah dikenakan hukuman oleh mahkamah… pihak polis akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional untuk mengenal pasti punca kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 2:46 PM